Isnin, 23 Ogos 2010

Mahasiswa berpolitik: Pertemuan Pemuda PAS- Saifudin batal

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memaklumkan pertemuan pihak mereka dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang dijadualkan hari ini, dibatalkan.

Menurut pegawai media DPPP pusat, Fadhil Osman, pembatalan tersebut atas permintaan timbalan menteri pengajian itu sendiri atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu satu tarikh baru akan dicadang kepada Saifuddin dan akan diberitahu kelak.

DPP sebelum ini mencadangkan tarikh hari ini untuk bertemu Saifuddin bagi membincangkan isu memberi kebenaran kepada mahasiswa berpolitik.

Ianya ekoran keterbukaan Saifuddin yang bersedia bertemu mana-mana pihak untuk berbincang berhubung perkara itu.

Saifuddin sebelum ini mencadangkan kepada kabinet agar mahasiswa diberi hak terlibat dalam politik, namun cadangan itu ditolak.

Sehubungan itu, beliau juga difahamkan akan membangkitkan perkara itu sekali lagi pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang.

Dalam pada itu, DPP juga turut memaklumkan Khairul Faizi Ahmad Kamil telah dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru.

Beliau menggantikan Kamaruzzaman Mohamed yang juga bekas ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Next >

Tiada ulasan:

Catat Ulasan